
KUALA LUMPUR: Seramai 16 orang termasuk lima wanita penyokong Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram di sini Sabtu lalu.
Selain itu, 13 orang lain termasuk seorang remaja bawah umur turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan membantu GMI dengan membekalkan baju T dan topi untuk pertubuhan haram itu.
Mereka yang didakwa menyertai perhimpunan haram itu berusia antara 30 hingga 60 tahun dan wanita berkenaan ialah Hayati Abdul Samad, Salmah Ismail, Norlaila Othman, Rashini (tiada nama penuh) dan Nashita Md Noor.
Lelaki itu ialah Nordin Ahmad, Hasbullah (tiada nama penuh), Wan Muhd Jaslan, Mohd Fitri Mohd Yasin, Syaza Muaz Shahaudin, Mohd Sukri Mohd Sirat, Mohd Sukeri Muhammad, Norazam Salaib, Mohd Sallehuddin Yusof, Mohd Fazlly Mohd Ismail dan Zul Sifli Kamma Kutti.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar kawasan Masjid Negara di sini antara 9 pagi hingga 1.30 petang, 1 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan